Tuesday, October 19, 2010

PROGRAM GOTONG ROYONG MENGECAT SURAU GEMBUT..

BAHAN SUMBER : dipetik daripada Utusan Malayia

Menyelami kehidupan masyarakat desa


Sebahagian mahasiswa UniKL dan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi yang menyertai program mengecat Surau Kampung Gembut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, baru-baru ini. -utusan/FARIK SALLEH


KOTA TINGGI 19 Okt. - Seramai 55 pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Pasir Gudang yang majoritinya berasal dari kawasan bandar mendapat pengalaman baru iaitu menjalani kehidupan dalam suasana kampung pada Program Khidmat Masyarakat Mengecat Surau Kampung Gembut, Tanjung Sedili di sini baru-baru ini.

Mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu diberi pendedahan terutama dalam aktiviti gotong-royong yang masih subur dalam masyarakat desa seperti kampung tersebut.

Program sehari anjuran bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi dan Unit Peladang Kampung Gembut itu juga dapat memberi pengalaman menghayati kehidupan penduduk luar bandar.

Pelajar Diploma Industri Logistik, Fara Nor Shahira Yazid, 18, berkata, dia berasa amat seronok kerana dapat meluangkan masa dan menabur bakti dalam memperoleh pengalaman berharga.

"Penglibatan dalam aktiviti universiti melalui kerja amal bersama masyarakat kampung memberi peluang mendalami budaya, adat resam di samping memperkenalkan UniKL kepada masyarakat luar terutamanya penduduk di sini," kata anak kedua daripada empat beradik dari Pasir Gudang itu kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pengalaman berharga itu turut dikongsi satu-satunya pelajar bukan Melayu, Lexeaus Wong, 18, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, walaupun berlainan keturunan dan agama tetapi dia tidak kekok untuk bersama-sama menjayakan aktiviti kemasyarakatan seperti itu.

"Malah saya rasa sungguh seronok kerana dapat mengenali adat dan budaya serta resam masyarakat Kampung Gembut yang masih menebal," kata anak sulung daripada dua beradik ini.

Rakannya, pelajar Sarjana Muda Kualiti Kejuruteraan, Mohd. Najib Dzulkifli, 25, pula berpendapat, suasana muhibah jelas terasa apabila mahasiswa dan penduduk kampung bersama-sama menjayakan program gotong-royong.

Tambahnya, kemeriahan amat terasa apabila mahasiswa berpeluang memasak secara beramai-ramai dengan penduduk setempat, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin.

Berbeza dengan Nur Hafizah Bustabi, 18, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah yang memberitahu, program seumpama itu membantunya mengenali dan meningkatkan kemahiran komunikasi mahasiswa dengan masyarakat luar serta menyelami kehidupan mereka dengan membantu apa yang mampu.

"Walaupun berbeza adat dan budaya di tempat sendiri, sebagai mahasiswa, kami menganggap masyarakat luar sudah seperti sebuah keluarga yang bekerjasama dan saling melengkapi antara satu sama lain.

"Secara jujur dikatakan pengalaman seumpama ini tidak boleh diperoleh di mana-mana termasuk di institusi pengajian tinggi, sebaliknya persekitaran dan keindahan semula jadi hanya diperoleh dengan berkunjung ke kampung-kampung tradisional seperti Kampung Gembut," tambahnya.